Saturday, 9 February 2013

Kelebihan Menghafaz al-Quran

al-Quran is The Way of Life

Alhamdulillah SMAPK mendapat tarbiyyah yang baik tahun ni dengan kerjasama PIBG SMAPK...bermula tahun lepas dapat membuat program HUFFAZ setiap pagi Sabtu dan Ahad lepas Subuh... Cuma nak berkongsi sedikit tentang KELEBIHAN MENGHAFAZ AL-QURAN: 



1.  Ganjaran Dunia
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Orang yang mengahafal Al-Quran tidak semestinya mendapat ganjaran di akhirat semata-mata bahkan di dunia juga. Seperti didalam maksud hadis diatas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, penghafaz al-Quran merupakan kerabat Allah S.W.T di dunia dikalangan manusia dan juga hamba-hambanya yang terpilih. Bayangkan anda menjadi salah seorang kerabat kepada Raja segala Raja, sedangkan didunia ini kalau kerabat sultan pun dihormati,inikan pula kerabat Raja segala Raja.Tidak mahukah kita merebut peluang seperti ini?. Selain itu orang yang menghafal Al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin seperti di dalam maksud hadith riwayat muslim “Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” dan banyak lagi ganjaran dan kelebihan di dunia bagi orang yang menghafal Al-Quran

2.  Mayat tidak reput
Disebutkan oleh hadith Rasulullah S.A.W bahawa sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu mati. 10 golongan tersebut ialah


  • Para Nabi
  • Para Syuhada'
  • Para Alim Ulama
  • Para Ahli Jihad
  • Para Hafiz al-Quran
  • Imam atau pemimpin yang adil
  • Tukang Azan. 
  • Wanita yang mati kelahiran/beranak
  • Orang mati dibunuh atau dianiaya
  • Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu dari kalangan orang yang   beriman.


3. Ibu bapanya mendapat kemuliaan
Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

4. Penghafaz al-Quran mendapat pengiktirafan dari Nabi Muhammad S.A.W
“Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

5. Penghafaz al-Quran mendapat pahala berlipat kali ganda
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)

6. Al-Quran menjanjikan kebaikan.
“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

Moga Istiqamah dalam Ibadah..
Wallahu'alam.

Malu??

DAKWAH ITU CINTA
Aku Malu Untuk Menegur Perkara Mungkar..

Ramai orang mengatakan belum cukup ilmu apabila ditanyakan mengapa tidak menegur orang yang berbuat salah. Tidak kurang juga yang mengatakan diri sendiri belum baik, mengapa perlu menegur orang lain.Bahkan ada juga yang mengatakan perlu apa menjaga tepi kain orang, tak perlu jadi 'busy body'. Adakah kita semakin menjadi manusia yang individualistik? Amat mementingkan diri sendiri? Dan banyak lagi alasan lain untuk tidak menegur..

Barangkali sifat merendah diri atau memikirkan kelemahan dan kekurangan diri menjadikan kita tidak yakin dan akhirnya meninggalkan usaha mengajak kebaikan.

Persepsi Diri Yang Salah

Ada di antara kita yang memandang zaman ini menegur orang biarlah kepada mereka yang ber'authoriti' . Serahkan sahaja pada pak imam, ustaz atau ustazah. Ada yang berpendapat untuk menegur orang lain diri perlu menjadi maksum. Malu dengan latar belakang keluarga yang tidak sempurna didikan agama.

Kewajipan Nasihat Menasihati Bukanlah Untuk Orang Tertentu

Sudilah memberi teguran yang baik dan berhikmah, kerana tanpanya manusia akan selalu terbabas. Fitrah manusia yang selalu lupa dan terburu-buru, seringkali diruntun oleh gelodak nafsu. Berbanggalah diri sebagai seorang Islam, menjadikan kita ini sebahagian dari masyarakat yang membentuk manusia dari dalam dan luaran.

Jika berdiam sahaja melihat buasnya dunia meladeni manusia, alamat kita sedang menuju kehancuran. Bukan sahaja melibatkan perhubungan sesama manusia, bahkan menyebarkan barah kepada bidang ekonomi, politik, pendidikan dan akhirnya diri sendiri. Terlalu mengharapkan orang lain kadangkala hanya meninggalkan harapan sahaja..

Allah memberitahu di dalam al-Quran yang bererti, hendaklah ada sebahagian dari golongan yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Mereka itulah orang yang berjaya. (Surah Ali Imran : 104) Golongan yang disebutkan menurut Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya Usul Ad Dakwah adalah orang Islam itu sendiri. Kita adalah umat yang terbaik yang lahir dari kelompok manusia wajib untuk mengajak kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran. Hukumnya sudah menjadi wajib pada masa kini kerana golongan yang menegur itu semakin mengecil jumlahnya.

Menasihati bukan satu cara sahaja

Mereka yang rugi antaranya adalah yang tidak mahu berpesan-pesan kepada perkara kesabaran dan kebenaran. Tidak perlu dengan mengeluarkan hadith atau ayat al Quran yang kadangkala mad'u pun tidak tercapai akalnya hendak menerima (sebab ia sendiri jahil mengenainya) .

Seorang Islam yang hebat mempunyai daya pemikiran yang kreatif dan mempunyai semangat yang tidak putus-putus untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Ada daya dengan tangan, maka penyampaian nasihat melalui tulisan, lukisan atau dengan kekuatan tangan. Menyentuh hati kadangkala lebih berjaya dengan diri kita yang menunjukkan kebaikan. Sentiasa bermanis muka, tersenyum, tidak mudah marah, suka menolong, lidahnya tidak celupar menuturkan kata.

Tentulah wahai tuan, Allah tidak melihat kepada natijah kepada usaha. Sebab prinsip asas yang diterangkan di dalam al Quran adalah usaha untuk mencapainya. Yang empunya kejayaan, kemenangan dalam ketentuanNya, bukan kita. Menasihati sesama manusia menyuburkan benih persaudaraan melalui kasih sayang dan kemaafan.

Marilah, tiada ruginya kita berbuat kebaikan..