Monday 29 April 2013

Husnul Khatimah

Sebuah Kisah

Waktu: Sekitar zaman selepas kewafatan Rasulullah saw.
Tempat: Di kawasan Timur Tengah.

Seorang pemuda yang gagah lagi perkasa telah berkhidmat sebagai pengumandang azan (muazzin) selama dua dekad. Lelaki yang berkulit gelap ini sangat berpengalaman dalam bidang kerjanya itu. Dia merupakan seorang muslim yang begitu mantap keimanannya dan ketaqwaannya kepada Allah. Namun, dia tidak pernah menyangka bahawa dia akan tertunduk kerana seorang gadis.

Pada suatu siang, muazzin yang berkulit gelap itu sedang bersiap untuk melaungkan azan zuhur. Seperti lazimnya, dia menaiki tangga menghala ke puncak menara (minaret). Tiba-tiba, sebelum dia memulakan laungan azan, dia terlihat dari atas sebuah rumah yang dimiliki oleh seorang wanita kafir yang cantik. (Nak digambarkan cantiknya perempuan ini, kulitnya putih melepak, matanya menawan dan sebagainya).

Perempuan wanita kafir ini sedang bersolek di dalam biliknya sambil membiarkan tingkapnya terbuka. Dia pun cukup hairan (walaupun dia seorang kafir yang sudah mengenali gaya hidup orang islam) mengapa azan zuhur masih tidak berkumandang. Tiba-tiba, kedengaran teriakan suara seorang lelaki dari luar rumahnya memanggil tuan rumah perempuan kafir ini. Gadis jelita ini dengan terburu-buru pergi ke pintu rumahnya lalu membuka. Dengan terkejutnya dia sedang melihat lelaki gagah berkulit gelap yang sepatutnya mengumandangkan azan zuhur pada waktu itu.

"Wahai pemuda, bukankah engkau sepatutnya melaungkan azan sekarang ini?" tanya gadis itu kepada si muazzin.

"Wahai gadis jelita, aku begitu terpesona melihatmu. Aku ingin menikahi kamu", kata muazzin itu.

"Sesungguhnya engkau tahu bahawa aku tidak akan memeluk Islam dan engkau tidak akan memeluk agama aku", balas gadis kafir dengan suara yang keras.

"Tidak mengapa, aku akan memeluk agamamu untuk menikahimu", balas lelaki itu.

Maka, lelaki tersebut telah murtad lalu bernikah dengan wanita kafir itu. Pada suatu hari, lelaki tersebut sedang menaiki tangga di rumahnya. Tiba-tiba, tangga tersebut runtuh dan meragut nyawa lelaki yang murtad itu. Lelaki yang dahulunya seorang muazzin telah meninggal dalam keadaan kafir.

Kesimpulan: Sebagai seorang muslim, jaga dan kekalkanlah akidah kita sehingga ajal menjemput. Janganlah terpedaya kerana fatamorgana seperti wanita, harta dan pangkat.