Monday 11 February 2013

Malu seorang muslimah :)


Tetamu sudah ramai di rumah, suasana riuh rendah sesekali diselitkan dengan gelak tawa sudah bertukar sepi. Ibu, ayah dan tetamu sudah bersedia di hadapan. Tiba-tiba namaku dipanggil, “Zaimah, mari ke depan nak..”
Hatiku bergetar. “Ya Allah, malunya mahu ke depan..”. Hari pertama aku akan melihat secara langsung si dia, ibu dan ayahnya diiringi Kak Su, naqibahku dan suaminya. Dalam hati aku memohon, agar perasaan malu yang menebal dalam diri ini kena pada tempatnya.


Malu Seorang Wanita
 

Dalam sebuah hadis, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Salah satu ciri kemuliaan wanita terletak pada sifat malu yang menebal dalam dirinya. Apa itu malu? Macam mana untuk malu? Bila masanya perlu malu?

 Definisi malu menurut ulama, seperti Al Junaid menyatakan, ”

Karena melihat berbagai macam karunia dan melihat keterbatasan diri sendiri, maka di antara keduanya muncul suatu keadaan yang disebut malu. Hakikatnya adalah akhlak yang mendorong untuk meninggalkan keburukan dan mencegah pengabaian dalam memenuhi hak Allah swt.” -cdari kitab Madarijus Salikin karya Ibnu Qayyim Al Jauziyah.
  
 Malu sekarang sudah semakin mahal nilainya. Ibarat dalam urusan jual beli, barang yang sangat sukar diperolehi semakin melambung tinggi harganya. Malu dalam diri seseorang semakin sukar untuk ditemui. Manusia semakin bebas melakukan apa sahaja yang diingini dan mencalar definisi malu yang disebutkan ulama di atas, hatta melanggar sunnah Nabi saw dalam merealisasikan sifat malu.

“Nabi saw tersangat malu lebih dari malunya anak dara yang berada di sebalik tirainya.” (HR Ahmad – sahih) 

 Nabi bersabda lagi:

Dalam Ash Shohihain dari Abu Hurairah ra, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Iman itu ada 70 cabang lebih, atau 60 cabang lebih. Yang paling utama adalah perkataan laa ilaaha illallah, dan yang paling rendah menyingkirkan gangguan dari jalan, dan rasa malu itu cabang dari iman. (HR Bukhari dan Muslim)

Juga dari Imran bin Hushain ra, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Rasa malu itu tidak mendatangkan kecuali kebaikan. (HR Bukhari dan Muslim)

 Rasulullah SAW juga bersabda: Sesungguhnya di antara perkataan nubuwah pertama yang diketahui manusia adalah: Jika engkau tidak malu, maka berbuatlah sesukamu. (HR Bukhari)

Bermula dari serendah Iman adalah rasa malu, malu itu sentiasa mendatangkan kebaikan sehinggalah kepada perlian Rasulullah saw yang seharusnya menanamkan rasa bersalah dalam diri untuk mempertahankan sifat malu tersebut.

Disebabkan hilangnya sifat malu ini, maka semakin hari semakin banyak kita dengari timbulnya pelbagai gejala sosial melibatkan kaum wanita. Pembuangan bayi tidak akan berlaku sekiranya wanita itu malu untuk bersama seorang lelaki yang bukan mahramnya. Lari dari rumah di kalangan wanita (majoritinya) tidak mungkin timbul jika wanita itu ada rasa malu dengan Allah swt kerana menderhaka kepada kedua ibubapanya. Pendedahan aurat yang berleluasa di kalangan wanita tidak mungkin dapat dilihat sekiranya wanita itu malu ibarat malunya anak Nabi Syuaib untuk pergi berjumpa dengan Nabi Musa a.s. [Surah Al-Qasas: 22-28] yang antara petikannya:

“Salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib as berjalan untuk menemui Nabi Musa dengan penuh rasa malu” (25: al-Qasas)

Analogi biasa yang kita dengari, antara buah yang masak ranum cantik dan berseri-seri dan buah yang telah rosak, busuk dan dimakan ulat, puncanya kerana apa? Sudah tentu kerana buah yang masak ranum cantik dan berseri-seri itu datang dari tuan yang sentiasa menjaga buah tersebut, dibalut dengan kain, disiram dengan baja yang mencukupi, ditepis dari ulat dan lalat yang ingin datang mengganggu sedangkan buah yang buruk itu dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang perlindungan. Begitulah ibaratnya sifat malu yang ada dalam diri seorang wanita, secara tidak langsung akan terangkat martabat dirinya.
  
 

Malu wanita tidak menegahnya keluar untuk menuntut ilmu agama dan berdakwah  

Ini yang dikatakan malu yang kena pada tempatnya. Malu seorang wanita tidak menghalang wanita tersebut agar mumtaz untuk ummah!

Malu yang menebal dalam diri tidak sampai kepada menjadikan seseorang wanita itu terperap di dalam rumah tanpa mengetahui keadaan dunia luar dan isu semasa atau lebih buruk lagi, menjadi bodoh dengan berada di rumah sahaja.

Buktinya?

Bukti pertama datang dari Ummul Mukiminin yang pertama, Siti Khadijah r.a. Khadijah seorang peniaga yang kaya-raya. Mana mungkin Saidatina Khadijah menjadi kaya tanpa beliau keluar untuk berdagang. Tetapi dengan diiringi perasaan malu untuk menjaga setiap tindak-tanduknya.

Bukti kedua adalah Saidatina Aishah r.a. Beliau adalah satu-satunya wanita yang paling banyak meriwayatkan hadith daripada Rasulullah saw. Terkenal dengan kecerdikannya sehinggakan ¼ daripada perundangan Islam dikeluarkan oleh beliau. Menjadi sumber rujukan sahabat ketika itu dan sehingga kini. Mana mungkin Saidatina Aishah r.a menjadi wanita yang sebegitu bijak tanpa beliau keluar dari rumah untuk menuntut ilmu.

Kita lihat pula kesungguhan para wanita/sahabiah di zaman Nabi saw. Abu Sai’id al-Khudri berkata:

“Seorang wanita berjumpa Rasulullah saw dan berkata “Wahai Rasulullah, orang-orang lelaki beruntung kerana selalu mendapat tazkirah darimu. Kami minta satu hari untuk kamu khususkan kepada kami bagi menyampaikan ilmu yang telah engkau ajarkan.” Lalu Nabi saw menjawab: “Berhimpun pada hari sekian-sekian.” Kami pun berhimpun pada hari yang telah ditetapkan Nabi dan Nabi saw mengajar mereka apa yang telah ajarkan pada Nabi saw.” (HR Bukhari dan Muslim – sahih)

Dalam athar ada menyebut:

“Sebaik-baik wanita adalah wanita ansar, sifat malu yang ada pada mereka tidak menghalang mereka bertanya dan mencari ilmu agama.”

Wanita dengan diiringi perasaan malu yang selayaknya tidak menghalang diri mereka untuk menjadi cemerlang dalam ilmu. Wanita juga mempunyai kewajipan yang sama seperti lelaki untuk berdakwah sepertimana disebutkan dalam firman Allah swt:

“Dan orang-orang yang beriman lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat baik dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”[At-Taubah: 71]

Beraninya Nusaibah ra berjihad menentang musuh, Rufaidah al-Aslamiyah merawat orang lelaki yang cedera dalam peperangan, Asma’ binti Abu Bakar yang menghantar makanan pada Nabi dan ayahnya dalam peristiwa hijrah, Khaulah yang menegur Khalifah Umar di khalayak ramai adalah sebahagian daripada contoh sahabiah yang keluar berjihad di jalan Allah swt. Mana mungkin semua contoh ini dapat kita dengari andai kata mereka tidak meletakkan sifat malu itu pada tempatnya!

Sebagai penutup, untuk renungan bersama:

Firman Allah S.W.T yang bermaksud,  “Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu”. (Az-Zumar: 9)
 
Wallahualam.

Saturday 9 February 2013

Syurga | Semudah Itukah?

"Apalah... orang kafir pasti masuk jahanam punya, padan muka!! Aku orang Islam...buat dosa banyak mana pun...masuk syurga gak..." kata seorang muslim yang begitu yakin dengan keislamannya....

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....ya akhi, ya ukhti. Semoga Allah meRahmati kita sentiasa.
Dalam artikel ini, ana berminat mengupas mengenai mahalnya syurga Allah s.w.t. Nak masuk syurga bukan sekadar Muslim.

Muslimin, Muttaqin, Mukhlisin...

Alhamdulillah...kita masih lagi bergelar seorang muslim...
Zaman sekarang ini, ramai manusia yang bergelar muslim...tapi ramaikah yang bertaqwa (melakukan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya)? Manusia bergelar muslim sudah semestinya mengucap dua kalimah syahadah (testimony of faith)

"أشهد أن لا إله إلا الله، و أشهد أن محمد رسول الله"

"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan Nabi Muhammad pesuruh Allah."
Demikianlah lafaz syahadah yang sering kita ucapkan ketika solat. Apabila kita melafazkannya, kita sebenarnya telah membuat satu ikatan agung dengan Allah. Kita mempercayai kewujudanNya sebagai Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Kuasa. Pada masa yang sama, kita juga telah menandatangani dokumen ghaib yang mengesahkan status kita sebagai hamba Allah. Bila disebutkan hamba, sudah semestinya wajib mentaati tuannya. Melihat status quo, begitu ramai Muslim yang tidak mengucap (menghayati) dua kalimah syahadah dengan betul. Apakah buktinya? Buktinya berada di hujung jari antum....cuba lihat news feed anda di facebook.....pasti ada kawan2 antum yang post gambar2 yg tidak menutup aurat dan sebagainya.
Paling dianggap mudah ialah ikhtilat yg melampau di alam maya...kononnya dengan memberi salam kepada lain jantina tu perkara kecil? Sedangkan itulah putik2 bunga maksiat tanpa kita sedari... Tuntasnya, dalam ramai2 muslimin, ramai juga yg x bertaqwa, auratnya dibuka, maruahnya tergadai, rukun islam x sempurna, dan lain2 (pandai-pandailah antum fikir sendiri).

Dalam ramai-ramai yang bertaqwa, berapakah peratus mukhlisin (orang-orang yang ikhlas)? Apabila seseorang itu beribadah, hendaklah ia ikhlaskan hatinya. Ikhlas sangat berkait rapat dengan hati (niat) yang bersifat x stabil. Sedang kita (lelaki) solat, lalu seorang wanita di tepi kita. Serta merta niat kita berubah drpd ikhlas kpd menunjuk-nunjuk di hadapan manusia. Betapa mudah syaitan mengganggu hati kita. Dalam setiap perlakuan, niatlah hanya kerana Allah 'Azza Wajalla sahaja. Kenapa? Kerana dengan rahmat Allah sahaja kita dimasukkan ke syurga. Tunjuklah segala ibadah kita kepada Allah... bukan kepada yang lain....Just Allah the Almighty.

Seperti yang kita belajar, setiap muslim pasti dimasukkan ke dalam syurga...jikalau ia mempunyai dosa...ia akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu sehingga hilang dosanya....kemudian baru ia dimasukkan ke dalam syurga. Ada yang beranggapan "Biarlah masuk neraka...yang pasti akhirnya masuk syurga gak....".

Mereka yang beranggapan demikian, cepat-cepatlah istighfar dan muhasabah diri. Kalau masih lagi beranggapan demikian, hayati cerita ini:

Sebuah Kisah di Masjid

Pada suatu malam selepas isya', seorang penjaga masjid yang berumur lingkungan 20 tahun sedang mengunci pintu-pintu pagar masjid. Semasa dia sedang mengunci pintu terakhir, dia terdengar derapan kasut menuju ke arahnya dari belakang.

"Assalamualaikum..." tegur seorang wanita yang memakai hijab dan berjubah hitam. Suaranya begitu halus dan lembut.

"Waalaikumussalam..." jawab Muhammad, penjaga masjid tersebut sambil menoleh ke belakang melihat pemilik suara yang begitu halus itu."Mengapakah kak masih berada di sini? Masjid ini hendak dikunci."

"Saya mencari tempat singgah untuk satu malam sahaja. Saya berhajat untuk bermalam di masjid ini",jawab muslimah tersebut.

Dengan perasaan belas kasihan, Muhammad membenarkan wanita itu bermalam di masjid. Malangnya, Muhammad terpaksa berjaga untuk melindungi wanita itu. Muslimah tersebut membuat keputusan untuk tidur di dewan solat muslimat manakala Muhammad tidur di luar dengan alasan untuk membuat kerja. Sebelum wanita itu beradu, dia terlihat Muhammad sedang membuat kerjanya di bawah cahaya lilin yang kecil. Wanita itu pun berasa hairan melihat Muhammad menggunakan cahaya lilin di samping menggunakan cahaya lampu yang jauh lagi terang. Tanpa berfikir panjang, kelopak mata wanita itu pun jatuh dengan kemas menutup matanya yang cukup menawan.

Alhamdulillah, keesokan subuhnya wanita tersebut bangun dengan selamat dan menunaikan solat subuh. Setelah itu, wanita berhijab itu berjumpa Muhammad lalu berterima kasih kepadanya. Wanita itu pun meneruskan perjalanan ke destinasinya.

Apa yang berlaku pada malam tersebut ialah Muhammad sedang melakukan kerjanya di bawah cahaya lilin. Sebenarnya, nafsu syahwatnya begitu kuat untuk melakukan maksiat bersama wanita itu. Bagaimana dia mampu mengawalnya? Setiap kali dia terdetik untuk melakukan maksiat, dia akan meletakkan tapak tangannya di atas api lilin yang berada di hadapannya itu. Setelah dia merasai kepanasan api dunia yang sangat menyeksakan, nafsunya pun tunduk kepadanya. Apatah lagi api neraka yang jauh lebih panas. Sanggupkah kita menanggungnya?

Kesimpulan secara menyeluruhnya ialah: Jadikanlah diri kita seorang muslim yang bertaqwa dengan ikhlas. Jadilah muslim yang berkualiti agar terus dimasukkan ke dalam syurga Allah yang sangat penuh dengan ni'mat. Ingatlah bahawa 'Syurga itu Ni'mat, Ni'mat pasti Mahal.'

Wallahu a'lam.

Kelebihan Menghafaz al-Quran

al-Quran is The Way of Life

Alhamdulillah SMAPK mendapat tarbiyyah yang baik tahun ni dengan kerjasama PIBG SMAPK...bermula tahun lepas dapat membuat program HUFFAZ setiap pagi Sabtu dan Ahad lepas Subuh... Cuma nak berkongsi sedikit tentang KELEBIHAN MENGHAFAZ AL-QURAN: 



1.  Ganjaran Dunia
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Orang yang mengahafal Al-Quran tidak semestinya mendapat ganjaran di akhirat semata-mata bahkan di dunia juga. Seperti didalam maksud hadis diatas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, penghafaz al-Quran merupakan kerabat Allah S.W.T di dunia dikalangan manusia dan juga hamba-hambanya yang terpilih. Bayangkan anda menjadi salah seorang kerabat kepada Raja segala Raja, sedangkan didunia ini kalau kerabat sultan pun dihormati,inikan pula kerabat Raja segala Raja.Tidak mahukah kita merebut peluang seperti ini?. Selain itu orang yang menghafal Al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin seperti di dalam maksud hadith riwayat muslim “Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” dan banyak lagi ganjaran dan kelebihan di dunia bagi orang yang menghafal Al-Quran

2.  Mayat tidak reput
Disebutkan oleh hadith Rasulullah S.A.W bahawa sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu mati. 10 golongan tersebut ialah


  • Para Nabi
  • Para Syuhada'
  • Para Alim Ulama
  • Para Ahli Jihad
  • Para Hafiz al-Quran
  • Imam atau pemimpin yang adil
  • Tukang Azan. 
  • Wanita yang mati kelahiran/beranak
  • Orang mati dibunuh atau dianiaya
  • Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu dari kalangan orang yang   beriman.


3. Ibu bapanya mendapat kemuliaan
Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

4. Penghafaz al-Quran mendapat pengiktirafan dari Nabi Muhammad S.A.W
“Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

5. Penghafaz al-Quran mendapat pahala berlipat kali ganda
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)

6. Al-Quran menjanjikan kebaikan.
“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

Moga Istiqamah dalam Ibadah..
Wallahu'alam.

Malu??

DAKWAH ITU CINTA
Aku Malu Untuk Menegur Perkara Mungkar..

Ramai orang mengatakan belum cukup ilmu apabila ditanyakan mengapa tidak menegur orang yang berbuat salah. Tidak kurang juga yang mengatakan diri sendiri belum baik, mengapa perlu menegur orang lain.Bahkan ada juga yang mengatakan perlu apa menjaga tepi kain orang, tak perlu jadi 'busy body'. Adakah kita semakin menjadi manusia yang individualistik? Amat mementingkan diri sendiri? Dan banyak lagi alasan lain untuk tidak menegur..

Barangkali sifat merendah diri atau memikirkan kelemahan dan kekurangan diri menjadikan kita tidak yakin dan akhirnya meninggalkan usaha mengajak kebaikan.

Persepsi Diri Yang Salah

Ada di antara kita yang memandang zaman ini menegur orang biarlah kepada mereka yang ber'authoriti' . Serahkan sahaja pada pak imam, ustaz atau ustazah. Ada yang berpendapat untuk menegur orang lain diri perlu menjadi maksum. Malu dengan latar belakang keluarga yang tidak sempurna didikan agama.

Kewajipan Nasihat Menasihati Bukanlah Untuk Orang Tertentu

Sudilah memberi teguran yang baik dan berhikmah, kerana tanpanya manusia akan selalu terbabas. Fitrah manusia yang selalu lupa dan terburu-buru, seringkali diruntun oleh gelodak nafsu. Berbanggalah diri sebagai seorang Islam, menjadikan kita ini sebahagian dari masyarakat yang membentuk manusia dari dalam dan luaran.

Jika berdiam sahaja melihat buasnya dunia meladeni manusia, alamat kita sedang menuju kehancuran. Bukan sahaja melibatkan perhubungan sesama manusia, bahkan menyebarkan barah kepada bidang ekonomi, politik, pendidikan dan akhirnya diri sendiri. Terlalu mengharapkan orang lain kadangkala hanya meninggalkan harapan sahaja..

Allah memberitahu di dalam al-Quran yang bererti, hendaklah ada sebahagian dari golongan yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Mereka itulah orang yang berjaya. (Surah Ali Imran : 104) Golongan yang disebutkan menurut Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya Usul Ad Dakwah adalah orang Islam itu sendiri. Kita adalah umat yang terbaik yang lahir dari kelompok manusia wajib untuk mengajak kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran. Hukumnya sudah menjadi wajib pada masa kini kerana golongan yang menegur itu semakin mengecil jumlahnya.

Menasihati bukan satu cara sahaja

Mereka yang rugi antaranya adalah yang tidak mahu berpesan-pesan kepada perkara kesabaran dan kebenaran. Tidak perlu dengan mengeluarkan hadith atau ayat al Quran yang kadangkala mad'u pun tidak tercapai akalnya hendak menerima (sebab ia sendiri jahil mengenainya) .

Seorang Islam yang hebat mempunyai daya pemikiran yang kreatif dan mempunyai semangat yang tidak putus-putus untuk mengajak manusia kepada kebaikan. Ada daya dengan tangan, maka penyampaian nasihat melalui tulisan, lukisan atau dengan kekuatan tangan. Menyentuh hati kadangkala lebih berjaya dengan diri kita yang menunjukkan kebaikan. Sentiasa bermanis muka, tersenyum, tidak mudah marah, suka menolong, lidahnya tidak celupar menuturkan kata.

Tentulah wahai tuan, Allah tidak melihat kepada natijah kepada usaha. Sebab prinsip asas yang diterangkan di dalam al Quran adalah usaha untuk mencapainya. Yang empunya kejayaan, kemenangan dalam ketentuanNya, bukan kita. Menasihati sesama manusia menyuburkan benih persaudaraan melalui kasih sayang dan kemaafan.

Marilah, tiada ruginya kita berbuat kebaikan..